
[Kertaskerja yang dibentangkan pada “Kolokium Sehari Satu Dasawarsa Allayaraham H. M. Dahlan” anjuran Program Sains Pembangunan, Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran, Fakulti Sains Soaial dan Kemanusiaan, UKM, pada 27 Oktober 2007, di Bilik Senat, UKM, Bangi.]
Prof H. M. Dahlan: Teman Seiring dalam Kembara dari Pengajian Budaya ke Sains Sosial
Oleh Rustam A. Sani
Saya mulai bertugas sebagai Pensyarah di Jabatan Antropologi dan Sosiologi (JAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada tahun 1976. Pada waktu itu UKM masih belum berpindah ke kampus tetapnya di Bangi, masih menjadi “setinggan” di Jalan Pantai Baru,
Meskipun pada waktu penyertaan saya itu Ketua JAS adalah Sdr Dahlan Haji Aman, namun usaha untuk “menggoda” saya supaya menyertai JAS telah dilakukan oleh seorang teman lain, yakni Saudara Hairi Abdullah. Pada waktu itu saya baharu sahaja pulang dari England (memperoleh Postgraduate Diploma in Theoretical Sociology dari University of Reading dan MA in South East Asian Studies dari University of Kent at Canterbury) – dan baru menyertai Pusat Bahasa UM untuk mengajar Ilmu Penterjemahan.
Pada ketika itu JAS sedang menghadapi masalah mencari tenaga pengajar, khususnya dalam bidang-bidang tertentu seperti Teori Sosiologi dan Antropologi. Tambahan pula pada ketika itu terdapat tenaga pengajar dalam bidang tersebut yang memutuskan untuk berkelana ke lapangan-lapangan lain yang lebih mencabar dan lebih “exciting”. Oleh itu, salah satu tarikan besar bagi saya menyertai JAS pada ketika itu ialah kemungkinan yang ditawarkan kepada saya untuk mengajar dan memperkembangkan bidang-bidang pengajaran yang saya gemari – Teori Sosiologi dan Sosiologi Politik.
Namun, aspek yang lebih menarik bagi saya tentang JAS ialah suasananya – sebahagian besar tenaga pengajarnya terdiri daripada teman-teman yang memang sudah saya kenali dan dapat dianggap seangkatan dengan saya dari zaman kami menjadi siswa di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, pada akhir tahun 1960an. Oleh yang demikian, saya tidak menghadapi banyak masalah dalam menyesuaikan diri dengan JAS maupun dengan ketuanya, Dahlan.
Bilangan para pensyarah JAS pada ketika itu tidaklah terlalu banyak – mungkin sekadar memenuhi tiga lantai sebuah blok bangunan rumah pangsa di Jalan Pantai Baru itu. Namun, bidang pengajaran yang dibebankan kepada para pensyarahnya cukup luas, meliputi bidang-bidang Psikologi, Antropologi dan Sosiologi. Bidang Psikologi berkembang menjadi sebuah Jabatan sendiri beberapa tahun kemudian di kampus baru UKM di Bangi – namun Antropologi dan Sosiologi terus menerus tidak diasingkan, meskipun gagasan dan pertukaran fikiran ke arah itu pernah tercetus.
Sebagai sebuah Jabatan akademik yang muda dan kecil pada mulanya, pada hemat saya salah satu “kekuatan” JAS itu ialah sifat introspektif dan “self-conciousness” sebagai pendukung sebuah bidang baru yang sedang cuba diperkembangkan dalam sebuah suasana akademik yang baru (yakni UKM yang ketika itu sedang diperkembangkan sebagai sebuah IPT yang secara experimental menggunakan bahasa kebangsaan Malaysia sebagai bahasa pengantarnya).
Bukan semua, tetapi sebahagian besar, para pensyarah di JAS mempunyai latarbelakang akademik yang agak sama. Sebahagian besar daripada mereka datang dari latarbelakang bekas pelajar “dewasa” yang terlatih di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya – khususnya dari Bahagian Kajian Budaya Melayu – dan kemudiannya meneruskan pengajian mereka pada peringkat Sarjana di jabatan-jabatan Antropologi dan/atau Sosiologi di universiti-universiti di luar negara (khususnya di AS, UK dan Australia).
Latarbelakang latihan para pensyarah JAS yang dapat dikatakan tidak begitu mantap dari segi bidang-bidang Sosiologi dan Antropologi semasa seperti yang terdapat di Barat itu dari satu segi sebenarnya merupakan suatu rahmat.
Dan semua ini dilakukan dengan kepekaan teoritis yang amat jelas. Bagi saya, inilah salah satu kekuatan dan keistimewaan Dahlan dan teman-temannya, yang merupakan para pensyarah peneroka dan pemula JAS. Dua tahun sebelum saya menyertai JAS, teman-teman peneroka itu sudah menganjurkan suatu seminar bagi membincangkan halatuju JAS dan orientasi sains sosial di negara ini pada keseluruhannya. Kertaskerja-kertaskerja dan hasil persidangan itu kemudiannya diterbitkan sebagai sebuah dokumen yang saya kira boleh dianggap sebagai dokumen penting yang menggariskan pemikiran para anggota peneroka JAS dalam memperkembangkan bidang mereka.
Pengalaman latihan pasca-sarjana Dahlan sendiri memperlihatkan ciri ini. Pada tahun 1973, beliau mengemukakan tesis MA yang bertajuk “Theories and Policies of Modernisation: An Application of A. G. Frank’s Critique with Particular Reference to West Malaysia” kepada Jabatan Antropologi dan Sociologi,
Oleh itu, saya melihat perkembangan sains sosial (khususnya Antropologi dan Sosiologi) di JAS sebagai semacam penerokaan yang bertitik-tolak daripada pendekatan Kajian Budaya Melayu (sebagai sebahagian daripada Pengajian Melayu) dalam kerangka kajian yang pernah diperikan oleh sarjana Josselin De Jong (1984) sebagai “bidang kajian etnologi”. Bidang kajian ini kemudiannya dipadukan dengan pengaruh yang diterima daripada perkembangan bidang Antropologi dan Sosiologi yang mutakhir di Barat.
Bagi saya, inilah sumbangan yang amat bererti yang telah diberikan oleh golongan para pensyarah peneroka di JAS terhadap perkembangan dan pertumbuhan sains sosial setempat. Sumbangan itu merupakan sumbangan kreatif dalam melahirkan suatu tradisi ilmu yamg tersendiri, yang tidak secara bulat-bulat menyalin begitu sahaja tradisi kajian etnografi Kajian Budaya Melayu atau meniru begitu sahaja perkembangan mutakhir Antropologi dan Sosiologi di Barat.
Menurut hemat saya, sifat introspektif dan kreatif para pensyarah peneroka ini merupakan salah satu sebab penting mengapa pengasingan sepenuhnya dua bidang Antropologi dan Sosiologi tidak pernah terjadi di JAS maupun melahirkan dua Jabatan yang berasingan. Pada intinya, para peneroka ini berpendapat bahawa dua bidang tersebut lahir sebagai kesan daripada sejarah pertumbuhan ilmu sosial yang dipengaruhi oleh pertumbuhan sosial masyarakat Barat sendiri – Sosiologi merupakan hasil pendekatan yang positivistik tentang masyarakat mereka sendiri dan Antropolgi berkembang pada sebahagian besarnya sebagai hasil daripada pertembungan dengan “budaya-budaya lain” yang lebih bersahaja dan lebih primitif.
Seperti yang pernah saya catatkan di tempat lain (A. Rahman Embong, 1995: 92):
“Apabila leluhur ilmu yang berlainan ini kita terapkan dalam situasi kita …tidak relevan sekiranya kita mempertahankan pengasingan kedua-duanya … Kedua-duanya patut diterapkan dalam satu bidang dengan memakai satu nama sahaja … [B]ukan sahaja namanya mesti baru, tetapi isinya juga harus menggambarkan integrasi kreatif kedua-dua disiplin itu.”
Unsur-unsur perkembangan dan pertumbuhan ilmu yang mendorongkan berlakunya integrasi dan pemikiran kreatif ini sebenarnya memang wujud – khsusnya kerana keperluan melaksanakan pertumbuhan itu (baik dari segi penyelidikan, penulisan maupun pengajaran) dalam bahasa
Namun dalam hal ini juga, Dahlan dan teman-temannya di JAS tidaklah berasa puas dengan sekadar bidang ilmu itu diungkapkan dalam bahasa tempatan, kerana yang mungkin dilahirkan hanyalah sekadar suatu bidang “ilmu sosial terjemahan” (a translation social science) dalam bahasa Malaysia dan Indonesia, dan bukannya suatu pengungkapan teoritis dan substantif yang sebenarnya (lihat Judistrira Garna dan
Dalam menyeramakkan pertumbuhan sains sosial yang khusus bersifat tempatan ini, salah satu kegiatan yang diberikan perhatian oleh Dahlan, baik sebagai Ketua JAS maupun sebagai individu akademik, ialah bidang penerbitan akademik. Sekitar pertengahan tahun 1970an dan 1980an, para anggota JAS telah memainkan peranan yang aktif lagi konsisten dalam kegiatan-kegiatan penerbitan akademik bukan sahaja pada peringkat jabatan, malah pada peringkat Fakulti dan Universiti juga – antara lain mengendalikan jurnal-jurnal seperti Akademika dan Jurnal Antropologi dan Sosiologi. Malah para anggota Jabatan turut memainkan peranan penting dalam penerbitan jurnal Ilmu Masyarakat (terbitan Persatuan Sains Sosial Malaysia).
Di JAS sendiri, Jawatankuasa Penerbitan Jabatan telah memainkan peranan yang aktif dan konsisten. Selain menerbitkan buku proceedings tentang persidangan Jabatan pada tahun 1974 dan siri SKIM, turut diterbitkan pada tahun 1976 buku yang diedit sendiri oleh Dahlan: The Nascent Malaysian Society: Development, Trends and Problems. Yang dimuatkan dalam buku itu ialah hasil penyelidikan (atau nukilan tesis) para pensyarah muda JAS – dan buku itu telah diulang cetak (edisi kedua) pada tahun 1986.
Satu persoalan penting berkaitan dengan perkembangan bidang Antropologi dan Sosiologi dalam konteks Malaysia ialah persoalan sifat disiplin itu sendiri, yakni apakah bidang itu harus bersifat ilmu “tulen” atau ilmu “terapan” (applied). Persoalan ini sekurang-kurangnya merupakan persoalan yang harus kita hadapi dalam konteks pengajarannya di universiti. Dari segi konteks leluhurnya di Barat, jelas sekali bahawa ilmu-ilmu tersebut telah berkembang sebagai ilmu tulen dengan latabelakang falsafah sosial yang kritis. Namun dalam zamanya sendiri, Dahlan dan rakan-rakannya terpaksa berhadapan dengan cabaran yang dihadapi universiti untuk menjadi “socially and politically relevant.” Tekanannya ialah supaya Antropologi dan Sosiologi dijadikan ilmu terapan sepenuhnya, sehingga mengorbankan sama sekali unsur-unsur “ilmu tulennya” yang terdapat sebelum itu.
Dalam menghadapi cabaran yang dihadapi ilmu sosial dan oleh institusi universiti sendiri dari segi kerelevanannya ini, pada hemat saya, Dahlan telah memperlihatkan kemampuannya untuk bersikap kreatif tetapi realistik. Dilihat dalam kerangka kegiatan pentadbiran ilmu (sebagai Ketua Jabatan, Dekan Fakulti), pengajaran, penulisan, penyelidikan dan penerbitan, kecenderungan Dahlan terhadap aspek-aspek ilmu tulen Antropologi dan Sosiologi dari segi epistimologi dan teorinya tidaklah pernah luntur. Namun dia juga dapat melihat kemungkinan ilmu-ilmu tersebut “diterap” demi keperluan amali masyarakat dan demi pembangunan dan pertumbuhannya.
Dalam kerangka inilah kita melihat ikatan yang semakin meningkat antara kegiatan akademik Dahlan dengan keperluan amali Kerajaan Negeri Sabah yang memerlukan input sains sosial dalam merangka perancangan pembangunan ekonomi dan sosialnya. Dahlan telah menemukan kegiatan akademik dan pentadbiran ilmunya di Jabatan dan Fakulti untuk melancarkan projek penyelidikan dan penerbitan yang agak besar yang dinamakan Kajian Etnografi Sabah. Projek tersebut amat jelas unsur ilmu terapannya, namun jika pendekatan dan rasionale projek itu dikaji secara mendalam maka akan jelaslah bahawa pendekatannya maupun asas teoretisnya amat teguh sifat-sifat ilmu sosial sebagai ilmu tulen.
Sebagaimana yang kita ketahui, minat serta penglibatan Dahlan dalam projek Kajian Etnografi Sabah ini semakin lama semakin menjurus ke arah terbentuknya semacam suatu bidang baru yang dinamakan “Sains Pembangunan” dan dari suatu segi semakin membawa beliau lebih jauh terpisah daripada JAS – pada suatu ketika beliau menjadi Dekan, Fakulti Sains Pembangunan, UKM Cawangan Sabah.
Dalam kertaskerja ringkas ini saya tidak bermaksud untuk melakukan suatu taksiran, apa lagi taksiran kritis, tentang pencapaian dan kejayaan (atau kegagalan) sains sosial, khususnya Antropologi dan Sosiologi, sebagai suatu bidang khusus dalam suasana dan bidang akademik di negara ini. Apapun pencapaian bidang tersebut, saya ingin menekankan betapa besarnya peranan yang telah dimainkan oleh Allahyarham Prof. H. M. Dahlan sebagai salah seorang pelopornya. Peranannya itu tidak sekadar penting dalam kerangka sumbangannya sebagai seorang “pentadbir ilmu”, yakni sebagai Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi, sebagai Dekan FSKK, dan sebagai Dekan, Fakulti Sains Pembangunan.
Namun, bagi saya, peranan lebih penting yang telah dimainkan oleh Dahlan ialah sebagai seorang penggiat dan pemikir (yakni pemimpin cendekia) bidang tersebut pada tahap-tahap awal pertumbuhannya. Dahlan merupakan seorang pemikir dan pelaksana cita-cita tentang usaha mewujudkan ilmu sosial yang bukan sekadar mantap dari segi teori dan epistemologinya, tetapi dapat pula dimanfaatkan demi keperluan dan kesejahteraan masyarakatnya yang juga sedang membangun.
Zamannya telah meletakkan Dahlan dalam suasana melaksanakan kegiatan ilmunya itu dalam kerangka suatu pengembaraan cendekia dari bidang kajian budaya yang berteraskan etnologi dan etnografi kepada bidang-bidang sains sosial tahap yang lebih mutakhir. Dari segi ini, kecemerlangan peranan Dahlan amatlah jelas terserlah.
Kajian yang lebih mendalam diperlukan untuk mentaksir sejauh mana peranan Dahlan itu telah mendatangkan kesan terhadap pertumbuhan sains sosial seterusnya – baik di UKM maupun di negara ini pada keseluruhannya. Tambahan pula, saya sendiri agak jahil tentang apakah yang telah berlaku kepada bidang akademik ini seterusnya, setelah saya meninggalkan JAS pada tahun 1988 – pada mulanya untuk turut mempelopori Jabatan Sains Politik UKM dan kemudiannya malah pergi lebih jauh daripada itu.
Pengetahuan saya tentang kegiatan dan peranan Dahlan sebagai pekerja ilmu selepas tahun 1988 itu juga tidaklah begitu mendalam. Namun demikian, saya cukup tertarik dengan bukunya yang telah diterbitkan setelah beliau meninggal dunia, Urbanisani: Alam Kejiwaan Sosial dan Pembangunan, Bangi: 1997). Bagi saya, buku ini memaparkan intipati daripada pengembaraan cendekia Dahlan tersebut: bagaimana dia memadukan ciri-ciri ilmu sosial sebagai ilmu tulen, menerapkan kaedah dan pendekatan sains positivis di mana perlu, bersuluh dengan pencerahan yang dapat dimanfaat dari perenungan para ahli filsafat seperti Alisjahbana dan Spangler, dan menyumbang terhadap keperluan pihak pentadbir negara dalam memahami isu yang perlu mereka fahami.
Namun, sebagai seorang yang turut mengalami dan turut terlibat dalam kegiatan Dahlan di JAS pada tahun 1970an dan 1980an, saya berkeyakinan bahawa sumbangan beliau itu amatlah besar dan sukar dapat dinafikan. Oleh yang demikian, saya amat bersyukur kerana dapat kesempatan untuk bergiat dalam bidang Antropologi dan Sosiologi pada waktu yang sama dengan Dahlan, lebih-lebih lagi kerana kesempatan untuk menjadi sahabat karibnya pada tahun-tahun yang dilalui dengan penuh kegairahan itu, baik dari segi kecendekiaan maupun dari segi-segi lainnya.




